Kelantan Menang Piala FA 2013 – Mengulas Kisah Tersirat
Salam sejahtera semua, saya tak tahulah kenapa hari dua tiga semalaman, terkena penangan jerebu, terus hilang idea nak tulis blog, walaupun dah beratus rangka kerja telah dijana dengan kuasa SEO dan nuffnang. Tapi tadi, selepas menonton perlawanan akhir Piala FA 2013, aku rasa ada satu kesedihan yang menyatakan bola sepak kita tidak menang, walaupun Kelantan yang menang. Sebelum itu, aku nak ucapkan tahniah sekali lagi kepada Kelantan, kerana menjadi pasukan ketiga menjuarai piala ini 2 kali berturut-turut, selepas Kedah dan Kuala Lumpur. Ok, mari kita mulakan , kisah tersirat di sebalik bahang Piala FA ini.
Kelantan Juara Piala FA 2013 (kredit fuh) |
Badhri Radzi – Terbaik Dalam Malaysia
Semakin lama Piya dapat bermain dengan Kelantan, semakin power kita dapat lihat, bagaimana hantaran maut Piya yang dapat membaca pergerakan Farhan, seterusnya menjaringkan gol kemenangan buat TRW mengekalkan trofi di bumi Cik Siti Wan Kembang. Ternyata, Shakir dan Badri bertindak baik sebagai penghubung kawasan tengah padang yang terbaik setakat ini di Malaysia. Amat mendukacitakan pula, bila Badri sejak cemerlang bersama Kelantan, tidak pula di pilih mewakili Malaysia, dan sekarang ini, Badri terpaksa pulak bersaing dengan Safiq Rahim, yang ternyata jauh merosot dan menunggu masa untuk ditendang dari Skuad Harimau Selatan.
Indra – Otai Masih Berbisa
Tersirat lagi di sini, di mana kedudukan Otai Indra Putra, diangkat Bojan Hodak sebagai pemain terbaik dalam 15 tahun bola sepak Malaysia. Indra ternyata masih berbisa, sentuhan makin tajam, walaupun tenaga makin berkurang. Tapi nyata, PENGALAMAN, adalah guru sebenar kepada ahli sukan, terutama bola sepak. Indra adalah wira Kelantan yang menjulang Piala Malaysia tahun lepas. Tetapi sayangnya, Rajagopal tidak menyenaraikan Indra, sebaliknya memilih Otai lain seperti Amri Yahyah untuk mengisi bahagian serangan pasukan Malaysia. Satu lagi kesedihan di sini ialah, di mana kualiti pemain muda kita, yang nyata tidak dapat menunjukkan aksi yang baik, berbanding pemain lama seperti Indra, Amri, Sukor, Hai-O, Badri. dan yang lain. Pemain Otai telah menunjukkan kepimpinan yang baik kepada pemain muda yang sedang meningkat naik.
Safiq Rahim oh Copot
Semakin hari, boleh aku kata, semakin teruk prestasi Safiq. Walaupun masih menggalas gelang tangan Kapten Malaya di Australia, ianya menjadi igauan kepada rakyat Malaysia, menjadi cacian kepada Safiq sendiri, yang dikatakan punca utama kekalahan JDT kepada Kelantan. Safiq, dan Safee, yang tenggelam dengan aksi longlai, terus sahaja dikeluarkan pada babak pertama. Safee pula kurang bernasib baik kerana kecederaan, yang terus menghantuinya, dan perlawanan Piala FA ini adalah kunci kepada pintu keluar Safiq dan Safee keluar dari JDT, dan menjadi pemain bintang yang hancur lebur. Lebih malang lagi, walaupun aksi mereka kurang bersama JDT, ianya tetap menjadi pilihan utama Rajagopal ketika di Australia, dan permainanan di Australia lebih memalukan , dengan hanya membuat sesi makan angin dengan kelab tidak ternama yang rata-rata dibarisi pemain bolasepak yang sambilan sahaja !!!!
Pengalaman ialah Pelaburan Sebenar
Suatu yang tidak dapat disangkal lagi, Pengalaman ialah Pelaburan Sebenar bagi sesebuah pasukan. Boleh dikatakan hampir 90% pemain Kelantan yang beraksi di final kali ini pernah mengalami kekalahan di final 2 kali berturut-turut, sebelum mereka maju kehadapan menjulang trofi Piala FA dua kali berturut-turut. Kelantan telah menunjukkan peningkatan sedikit demi sedikit, dengan nilai pelaburan yang sedikit, semenjak dibawah kepimpinan TSAM. Kelantan pernah terumbang-ambing, bermain di Liga FAM, tapi perlahan-lahan bangkit dan seterusnya menjadi Juara Treble pada tahun lepas. Suatu yang tidak dapat dibeli oleh TMJ ialah pengalaman berharga sesebuah Pasukan, bukannya Pemain. Pengalaman Kelantan bergerak sebagai sebuah pasukan adalah lebih bernilai dari satu pemain yang berkualiti seperti Mat Yo dan Awe yang ternyata kurang bernasib baik kali ini.
Kebangkitan Penyokong
Dari sudut positifnya, aku dapat lihat, penyokong dapat memberikan satu Fenomena baru yang dinantikan oleh peminat bola sepak negara. Semakin hari, kita dapat melihat, fanatik pasukan bukanlah penghalang penyokong kedua-dua buah pasukan bersalaman dan bergambar bersama. Kebangkitan penyokong JDT khasnya, memeriahkan lagi suasana bola sepak Malaysia. Tidak dapat dinafikan, suatu pelaburan terbaik TMJ ialah dapat meraih dan menyatukan kembali penyokong bola sepak JOHOR yang aku rasa seolah-olah tidur lena selepas kejatuhan Johor FA. Apapun kebangkitan team adik, adalah satu tonik istimewa rakyat Johor yang inginkan kemenangan, malah golongan artis dari Johor pun turun untuk menyokong pasukan negeri mereka iaitu JDT. Adik ipar aku sekali, dengan abang dia sanggup terbang dari sabah semata-mata nak layan final. Aku hampir nak join, tapi macam biasa hari terakhir di Shaklee kena buat kerja sikit.
Kapitalis Ulat Tiket
Perkara yang paling menyakitkan hati penyokong ialah, kedatangan ulat tiket dan kapitalis yang cuba mengaut keuntungan dari kebangkitan penyokong kedua-dua belah negeri.Bagi peminat, Ulat Tiket amatlah mendukacitakan, menyusahkan, dan mereka senang-lenang berleluasa untuk menjual tiket dan mendapat untung atas angin. Seperti yang berlaku di Larkin, Pahang, dan semasa final kali ini, ramai yang ditipu oleh golongan kapitalis yang cuba mengaut keuntungan mudah.
Adakah Penyokong hilang rasional
Ada juga beberapa insiden yang paling sedih , di mana ada penyokong yang tidak dapat masuk, kerana ada segelintir peminat yang dapat masuk secara percuma, kerana pintu pagar stadium runtuh. Mereka secara fanatik ada cuba memanjat pagar dan berjaya masuk secara percuma. Ini pula tidak dapat dikawal oleh pihak berkuasa. Insiden balas membalas di Pahang ternyata memberikan impak yang besar kepada FAM, yang nyata gagal mengawal penyokong untuk menjadi lebih rasional dan berfikiran kelas pertama. Mendengar rintihan peminat yang hanya menonton skrin besar di luar stadium adalah satu kegagalan FAM dalam mengawal Ulat Tiket dan penyokong yang cuba mencari dan merempuh stadium supaya mereka dapat masuk.
Penutup: Layakkah kita ke Piala Dunia ?
Sebagai penutup kepada ulasan ini, marilah kita bertanya kepada diri sendiri, adakah perkara-perkara tersirat ini adalah salah FAM semata-mata ? Adakah kita masih rasional untuk menjadi penyokong yang bagus ketika berada di stadium ? Adakah KJ akan membantu FAM untuk layak ke Piala Dunia ? Nampaknya, perkara-perkara tersirat dan tersurat di atas sedikit sebanyak dapat membantu anda menjawab persoalan di sini. Akhir kata, Majulah BOLA SEPAK KITA !!!
4 comments